\ WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM 2024
SELAMAT DATANG KE WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM 2024. PIHAK PENDTADBIR BERHARAP AGAR ANDA DAPAT MEMANFAATKAN BAHAN & RUJUKAN DISINI DENGAN SEBAIK MUNGKIN. SEKIAN TERIMA KASIH.

10 Disember 2020

06 - PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA GEJALA BULI DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANINYA

 Soalan: Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda.  Tajuk syarahan anda ialah punca-punca berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah dan langkah-langkah menanganinya.  Tuliskan teks syarahan anda selengkapnya. 


Analisis Soalan:

Tema/Isu             -         Gejala Buli

Tugasan              -         Menulis syarahan tentang punca-punca dan 

                                        langkah-langkah menangani gejala buli

Format                -          Syarahan


           Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa, Puan Hjh Rohanah bt Esmail, Yang dihormati Guru Penolong Kanan Petang Puan Kalsom bte Haron,  barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Asalamualaikum , salam sejahtera serta salam satu Malaysia


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Berdirinya  saya pada hari ini yang berbahagia ini, adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Punca-punca Gejala Buli di Sekolah serta langkah-langkah menanganinya.  Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu soalan iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli?


Hadirin yang dihormati sekalian,


Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya.Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.


Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang terlibat.   Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.  Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya.  Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama.  Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya,   ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka  menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.


Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini.  Pada zaman yang serba moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.  Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan prihatian kapada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja.  Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah.  Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.


Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli ini.  Para pelajar yang masih terlalu muda,  dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan matang.  Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.  Jelaslah,  rakan sebaya yang menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.


Bagaimana dengan pihak media massa?  Seperti yang kita ketahui, media masa terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan sebagainya.  Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.  Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli rakan-rakan mereka yang lain.


Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,


Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.  Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam kurikulum di sekolah.  Contohnya,  melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu tentang gejala-gejala negatif terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya perlu dimasukkan dalam sukatan.   Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan yang boleh menggelapkan masa hadapan meeka.   Pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli ini.


Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli.   Pihak luar seperti NGO boleh dipanggil untuk mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala buli ini.  Selain itu pihak sekolah sendiri boleh menganjurkan aktiviti seperti kuiz, pidato dan sebagainya tentang kes buli dan juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.


Seterusnya , yang paling penting ialah diri pelajar itu sendiri.  Para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana kawan yang baik akan membawa mereka ke arah kebaikan dan begitulah sebaliknya.  Umpama berkawan dengan penjual minyak wangi, secara tidak langsung badan kita juga akan sentiasa wangi. Contohnya, jika berkawan dengan orang yang minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar membaca bersama-sama. Oleh itu, jika pelajar mesti  bijak memilih kawan, supaya tidak terjebak dalam gejala buli di sekolah.


Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar boleh menjadi mata dan telinga kepada para guru di sekolah.  Contohnya jika para pelajar ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli, mereka harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada guru disiplin atau pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.


Hadirin yang dihormati sekalian,


Memang tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut memainkan peranan penting untuk menangani gejala buli ini. Setiap laporan yang diterima daripada guru atau pelajar mesti diambil tindakan dengan segara.  Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah tidak harus berkompromi dengan kes buli malah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.


Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka.  . Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik, contohnya  tidak bertengkar atau bergaduh di hadapan anak-anak , bergaul dengan baik dan mesra ketika berurusan dengan jiran tetangga dan orang lain.  Bak kata bidalan, bagaimana acuan , begitulah kuihnya.  Ibu bapa yang baik akan melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.


Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa dengan anak-anak dan sentiasa mengambil berat tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah. Contohnya, pada hujung minggu atau cuti, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti untuk mempererat kemesraan keluarga.  Perhatian dan  belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka akan menyebabkan  mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Dengan ini anak-anak akan menyayangi ibu bapa dan sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.


Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.


Hadirin yang dikasihi sekalian,


Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi.  Semoga apa yang telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.  Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.


Kalau ada jarum yang patah,

     Jangan di simpan di dalam peti;

Kalau ada silap dan salah,

     Jangan disimpan di dalam hati.


Padi muda jangan ditampi;

    Padi huma si beras jati;

Generasi muda harapan pertiwi,

    Didiklah mereka seikhlas hati.



Sekian.  Terima kasih


05 - LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMAJUKAN INDUSTRI KRAF TANGAN DI MALAYSIA

Industri kraf tangan mempunyai potensi yang besar di negara kita meskipun menghadapi pelbagai masalah.

Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk memajukan industri ini

Jelaskan.


          Industri kraf tangan ialah kerja-kerja penghasilan barangan kraf tradisional. Industri ini merupakan satu industri yang berpetensi besar untuk membantu meningkatkan tahap kehidupan masyarakat terutama masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk memajukan industri ini ke tahap yang lebih baik lagi.

          Tindakan yang paling logik untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraf tangan di negara. Penubuhan lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti menjadikan lebih banyak produk yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh oleh pelancong terutama dari luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh dijadikan sebagai tempat melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.

          Kerajaan juga harus menjalankan usaha untuk meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan teknologi dan reka bentuk yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran industri ini supaya kos menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada pembeli boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi juga menjadikan industri ini lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan produk mereka terus mendapat tempat dalam hati pelancong.

         Kempen kesedaran yang meluas harus dilaksanakan terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada remaja yang tidak lagi mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak menggunakan produk itu sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang bercorak moden atau berteknologi tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan meninggikan imej hasil kraf tangan pada masa yang sama.

     Produk kraf tangan ini juga perlulah menggunakan hasil semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraf tangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah kraf tangan harus menggunakan sumber semula jadi tempatan?

        Konklusinya, industri ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil kraf tangan mereka dan menjadi tugas kita untuk memastikan hasil ini terus hidup subur dalam negara ini. Kegagalan kita mengekalkan kraf tangan seolah-olah menjadi buktik betapa teruknya pandangan masyarakat terhadap industri kraf tangan sendiri.


04 - LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTIK DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Isu tentang semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat sering diperkatakan.  Kemukakan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita.

         Sejak akhir-akhir ini, isu semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa kini sering diperkatakan.  Perkara ini amat membimbangkan apabila terdapat segelintir masyarakat yang  tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan. Contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan.  Justeru., langkah-langkah yang berkesan perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini supaya tidak menjadi ‘duri dalam daging’ yang akan menjejaskan kemakmuran negara kita.

                 Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita.  Antranya ialah memupuk semangat patriotik sejak dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Contohnya , pihak sekolah boleh mengadakan program seperti sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah, nanyian Lagu Negara ku semasa perhimpunan dan sebagainya.  Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

         Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk memupuk semangat patriotik dalam sanubari anak –anak.  Ibu bapa harus sentiasa menanamkan kesedaran tetang pentingnya memelihara kedulatan dan kemerdekaan negara sejak anak-anak masih kecl lagi. Ibu bapa juga mesti menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak.  Contohnya, ibu bapa mesti mengibarkan bendera bersama-sama anak-anak ketika sambutan  hari kemerdekaan negara.  Ibu bapa dan anak-anak juga boleh melawat tempat-tempat bersejarah tanah air semasa cuti sekolah dan sebagainya.  Oleh itu anak-anak telah mendapat pendedahan dan kesedaran tentang semangat cinta akan tanah air daripada ibu bapa sejak kecil.

          Seterusnya, pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

          Kesimpulannya, semangat patriotik sangat penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Justeru, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.


03 - FAKTOR-FAKTOR PENINGKATAN MASLAH DISIPLIN DALAM KALANGAN PELAJAR

 Dewasa ini kita sering dihambat dengan masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan remaja. Hal ini pastinya amat membimbangkan banyak pihak kerana remaja merupakan tiang negara pada masa hadapan. Keruntuhan moral ini boleh menjejaskan matlamat negara dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dalam memacu negara ke era negara maju. Jika diperhalusi, pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja.

Faktor utama yang dikenal pasti ialah berpunca daripada ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak dengan didikan yang betul. Jika ibu atau bapa tidak boleh mendidik anak-anak mereka dengan baik, pada siapakah lagi tanggungjawab itu harus dipikul? Sesetengah ibu bapa belakangan ini juga bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan lurus. Jelas, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mencorak keperibadian remaja.

Di samping itu, faktor yang mendorong kepada permasalahan ini ialah berpunca daripada ibu bapa yang sibuk mencari nafkah sehinggakan anak-anak terabai. Kesempitan hidup ini memang tidak boleh dinafikan dalam mencari sesuap nasi untuk membesarkan anak-anak. Namun demikian, sering kali anak-anak yang masih mentah ini mengambil peluang yang ada untuk berseronok dengan rakan-rakan sehinggakan timbul masalah yang lain. Dalam hal ini ibu bapa perlu bijak dalam membahagikan masa dengan anak-anak.

Seterusnya, pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama dalam peningkatan masalah disiplin pelajar. Masakan tidak kerana golongan remaja kini banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya berbanding ahli keluarga. Didorong atas sifat ingin tahu, mereka pasti akan mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup mereka yang mungkin boleh menggelapkan masa depan sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, remaja atau pelajar perlu bijak dalam memilih rakan jika tidak mahu terlibat dalam masalah ini.

Selain itu, pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam meruncingkan lagi permasalahan disiplin ini. Lihat sahaja di layar perak mahupun di kaca-kaca televisyen yang banyak menyiarkan aksi keganasan dan masalah sosial. Contoh yang paling ketara seperti filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gengster yang memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Sedikit sebanyak remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan.

Kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja. Namun demikian, perkara ini boleh diatasi jika semua pihak memainkan peranan masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing. Secara tidak langsung, hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi pada tahun 2020 bakal terlaksana.


02 - KEBAIKAN PENGGUNAAN PENGANGKUTAN AWAM

·         Mengurangkan kesesakan lalu lintas

·         Menjimatkan masa

·         Mengurangkan kos

·         Mengurangkan pencemaran udara

·         Dapat menambah pendapatan negara

 

Berdasarkan isi-isi penting yang diberi, bincangkan kebaikan-kebaikan menggunakan pengangkutan awam di negara kita

 

              Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju ke status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila menggunakan pengangkutan awam.

              Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya berkurangan.

              Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa individu yang menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

             Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

             Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

             Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu menarik minat pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan negara akan meningkat seiring dengan penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.

             Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di negara kita ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang dicita-citakan.

 

 


01 - PERANAN IBU BAPA MENGGALAKKAN ANAK-ANAK MEMINATI PERMAINAN TRADISIONAL

Pernahkah kita melihat kanak-kanak bermain permainan tradisional pada era modenisasi ini? Adakah mereka cukup memahami tentang permainan tradisional? Pada zaman nenek moyang, kanak-kanak lebih banyak berseronok dan berhibur dengan permainan tradisional. Manakala, pada zaman pasca merdeka ini, kanak-kanak lebih cenderung menggunakan telefon bimbit yang tidak lekang dari tangan mereka. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak meminati permainan tradisional. 'Tepuk dada, tanya selera'. Persoalan yang berlegar-legar di benak saya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak meminati permainan tradisional?

Sebagai lontaran idea pertama, ibu bapa merupakan guru pertama anak-anak sejak kecil lagi seperti 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Maka dengan itu, ibu bapa wajarlah mendedahkan anak-anak dengan permainan tradisional agar mereka berani mencubanya. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran permainan tradisional agar mereka dapat beroleh pengetahuan tentang cara-cara bermain permainan tersebut. Selain itu, 'sambil menyelam minum air', ibu bapa boleh menjelaskan tentang sejarah permainan tersebut sambil bermain bersama anak-anak. Kesannya, anak-anak akan berasa teruja untuk turut serta dalam permainan tersebut dan tidak tenggelam dalam dunia teknologi yang kian canggih ini.

Sebagai cetusan idea kedua, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak supaya mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. 'Di mana jatuhnya kuah kalau tidak ke nasi' ? Hal ini juga selaras dengan peribahasa, 'bagaimana acuan begitulah kuihnya'. Selain itu, ibu bapa wajiblah meluangkan masa senggang yang berkualiti untuk bermain permainan tradisional bersama anak-anak. Kesannya, mereka akan berasa seronok, lalu mengajak rakan-rakan untuk mengaplikasikan teknik-teknik permainan yang telah diajar.

Sebagai lontaran idea ketiga, ibu bapa patutlah menyokong penglibatan anak-anak dalam Sukan Tradisional seperti sepak takraw dan Permainan Tradisional seperti congkak dalam program '1 Murid 1 Sukan' di sekolah. Di samping itu, ibu bapa bolehlah melatih anak-anak bermain permainan tradisional dengan memperuntukkan sebahagian waktu di kampung dengan mengadakan sukaneka. Sebagai misalan, contoh yang boleh diketengahkan ialah tarik upih, konda-kondi, congkak, gasing, bermain wau dan layang-layang. Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Ibu bapa sebagai entiti mithali dan rol model bagi anak-anak, haruslah bersikap tegas dengan mengalakkan anak-anak bermain permainan tradisional di luar rumah dan mengehadkan penggunaan gajet. Dengan itu, anak-anak akan berasa seronok dan menikmati warisan yang telah ditinggalkan turun-temurun dan tidak ternilai ini.

Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah memainkan peranan vital untuk memastikan permainan tradisional sentiasa relevan seiring dengan kemajuan teknologi di dunia tanpa sempadan ini, sesuai dengan peribahasa, 'tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas'. Kita sebagai anak-anak pada abad ke-21 haruslah mengekalkan permata yang berharga ini kepada generasi akan datang.

 


4 Disember 2020

NOTA RINGKAS BESTARI ANTOLOGI SEJADAH RINDU

Assalamualaikum dan Salam sejahtera, Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat ilahi kerana dapat saya menerbitkan blog baharu ini yang dahulunya di LINK izzathakimkomsas.blogspot.com yang telah lama saya tinggalkan.

NOTA RINGKAS BESTARI ANTOLOGI SEJADAH RINDU



*** PERHATIAN
Untuk mendapatkan nota, bahan dan pertanyaan sila join Group Telegram...
KLIK DISINI

NAMA FAIL                     :      ANTOLOGI SEJADAH RINDU
SAIZ                                :     726 KB
FORMAT FAIL NOTA       :     PDF (Adobe Reader)
WEBSITE DOWNLOAD  :     Google Drive
LINK DOWNLOAD          :     KLIK UNTUK MUAT TURUN