SELAMAT DATANG KE WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM & PT3 2020. PIHAK PENDTADBIR BERHARAP AGAR ANDA DAPAT MEMANFAATKAN BAHAN & RUJUKAN DISINI DENGAN SEBAIK MUNGKIN. SEKIAN TERIMA KASIH.

10 Disember 2020

01 - PERANAN IBU BAPA MENGGALAKKAN ANAK-ANAK MEMINATI PERMAINAN TRADISIONAL

Pernahkah kita melihat kanak-kanak bermain permainan tradisional pada era modenisasi ini? Adakah mereka cukup memahami tentang permainan tradisional? Pada zaman nenek moyang, kanak-kanak lebih banyak berseronok dan berhibur dengan permainan tradisional. Manakala, pada zaman pasca merdeka ini, kanak-kanak lebih cenderung menggunakan telefon bimbit yang tidak lekang dari tangan mereka. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak meminati permainan tradisional. 'Tepuk dada, tanya selera'. Persoalan yang berlegar-legar di benak saya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak meminati permainan tradisional?

Sebagai lontaran idea pertama, ibu bapa merupakan guru pertama anak-anak sejak kecil lagi seperti 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Maka dengan itu, ibu bapa wajarlah mendedahkan anak-anak dengan permainan tradisional agar mereka berani mencubanya. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran permainan tradisional agar mereka dapat beroleh pengetahuan tentang cara-cara bermain permainan tersebut. Selain itu, 'sambil menyelam minum air', ibu bapa boleh menjelaskan tentang sejarah permainan tersebut sambil bermain bersama anak-anak. Kesannya, anak-anak akan berasa teruja untuk turut serta dalam permainan tersebut dan tidak tenggelam dalam dunia teknologi yang kian canggih ini.

Sebagai cetusan idea kedua, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak supaya mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. 'Di mana jatuhnya kuah kalau tidak ke nasi' ? Hal ini juga selaras dengan peribahasa, 'bagaimana acuan begitulah kuihnya'. Selain itu, ibu bapa wajiblah meluangkan masa senggang yang berkualiti untuk bermain permainan tradisional bersama anak-anak. Kesannya, mereka akan berasa seronok, lalu mengajak rakan-rakan untuk mengaplikasikan teknik-teknik permainan yang telah diajar.

Sebagai lontaran idea ketiga, ibu bapa patutlah menyokong penglibatan anak-anak dalam Sukan Tradisional seperti sepak takraw dan Permainan Tradisional seperti congkak dalam program '1 Murid 1 Sukan' di sekolah. Di samping itu, ibu bapa bolehlah melatih anak-anak bermain permainan tradisional dengan memperuntukkan sebahagian waktu di kampung dengan mengadakan sukaneka. Sebagai misalan, contoh yang boleh diketengahkan ialah tarik upih, konda-kondi, congkak, gasing, bermain wau dan layang-layang. Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Ibu bapa sebagai entiti mithali dan rol model bagi anak-anak, haruslah bersikap tegas dengan mengalakkan anak-anak bermain permainan tradisional di luar rumah dan mengehadkan penggunaan gajet. Dengan itu, anak-anak akan berasa seronok dan menikmati warisan yang telah ditinggalkan turun-temurun dan tidak ternilai ini.

Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah memainkan peranan vital untuk memastikan permainan tradisional sentiasa relevan seiring dengan kemajuan teknologi di dunia tanpa sempadan ini, sesuai dengan peribahasa, 'tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas'. Kita sebagai anak-anak pada abad ke-21 haruslah mengekalkan permata yang berharga ini kepada generasi akan datang.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan