\ WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM 2024: 06 - PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA GEJALA BULI DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANINYA
SELAMAT DATANG KE WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM 2024. PIHAK PENDTADBIR BERHARAP AGAR ANDA DAPAT MEMANFAATKAN BAHAN & RUJUKAN DISINI DENGAN SEBAIK MUNGKIN. SEKIAN TERIMA KASIH.

10 Disember 2020

06 - PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA GEJALA BULI DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANINYA

 Soalan: Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda.  Tajuk syarahan anda ialah punca-punca berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah dan langkah-langkah menanganinya.  Tuliskan teks syarahan anda selengkapnya. 


Analisis Soalan:

Tema/Isu             -         Gejala Buli

Tugasan              -         Menulis syarahan tentang punca-punca dan 

                                        langkah-langkah menangani gejala buli

Format                -          Syarahan


           Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa, Puan Hjh Rohanah bt Esmail, Yang dihormati Guru Penolong Kanan Petang Puan Kalsom bte Haron,  barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Asalamualaikum , salam sejahtera serta salam satu Malaysia


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Berdirinya  saya pada hari ini yang berbahagia ini, adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Punca-punca Gejala Buli di Sekolah serta langkah-langkah menanganinya.  Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu soalan iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli?


Hadirin yang dihormati sekalian,


Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya.Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.


Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang terlibat.   Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.  Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya.  Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama.  Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya,   ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka  menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.


Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini.  Pada zaman yang serba moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.  Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan prihatian kapada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja.  Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah.  Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.


Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli ini.  Para pelajar yang masih terlalu muda,  dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan matang.  Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.  Jelaslah,  rakan sebaya yang menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.


Bagaimana dengan pihak media massa?  Seperti yang kita ketahui, media masa terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan sebagainya.  Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.  Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli rakan-rakan mereka yang lain.


Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,


Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.  Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam kurikulum di sekolah.  Contohnya,  melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu tentang gejala-gejala negatif terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya perlu dimasukkan dalam sukatan.   Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan yang boleh menggelapkan masa hadapan meeka.   Pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli ini.


Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli.   Pihak luar seperti NGO boleh dipanggil untuk mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala buli ini.  Selain itu pihak sekolah sendiri boleh menganjurkan aktiviti seperti kuiz, pidato dan sebagainya tentang kes buli dan juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.


Seterusnya , yang paling penting ialah diri pelajar itu sendiri.  Para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana kawan yang baik akan membawa mereka ke arah kebaikan dan begitulah sebaliknya.  Umpama berkawan dengan penjual minyak wangi, secara tidak langsung badan kita juga akan sentiasa wangi. Contohnya, jika berkawan dengan orang yang minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar membaca bersama-sama. Oleh itu, jika pelajar mesti  bijak memilih kawan, supaya tidak terjebak dalam gejala buli di sekolah.


Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar boleh menjadi mata dan telinga kepada para guru di sekolah.  Contohnya jika para pelajar ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli, mereka harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada guru disiplin atau pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.


Hadirin yang dihormati sekalian,


Memang tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut memainkan peranan penting untuk menangani gejala buli ini. Setiap laporan yang diterima daripada guru atau pelajar mesti diambil tindakan dengan segara.  Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah tidak harus berkompromi dengan kes buli malah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.


Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka.  . Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik, contohnya  tidak bertengkar atau bergaduh di hadapan anak-anak , bergaul dengan baik dan mesra ketika berurusan dengan jiran tetangga dan orang lain.  Bak kata bidalan, bagaimana acuan , begitulah kuihnya.  Ibu bapa yang baik akan melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.


Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa dengan anak-anak dan sentiasa mengambil berat tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah. Contohnya, pada hujung minggu atau cuti, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti untuk mempererat kemesraan keluarga.  Perhatian dan  belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka akan menyebabkan  mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Dengan ini anak-anak akan menyayangi ibu bapa dan sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.


Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.


Hadirin yang dikasihi sekalian,


Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi.  Semoga apa yang telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.  Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.


Kalau ada jarum yang patah,

     Jangan di simpan di dalam peti;

Kalau ada silap dan salah,

     Jangan disimpan di dalam hati.


Padi muda jangan ditampi;

    Padi huma si beras jati;

Generasi muda harapan pertiwi,

    Didiklah mereka seikhlas hati.



Sekian.  Terima kasih


Tiada ulasan:

Catat Ulasan