SELAMAT DATANG KE WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM & PT3 2020. PIHAK PENDTADBIR BERHARAP AGAR ANDA DAPAT MEMANFAATKAN BAHAN & RUJUKAN DISINI DENGAN SEBAIK MUNGKIN. SEKIAN TERIMA KASIH.

10 Disember 2020

14 - USAHA-USAHA UNTUK MEMAJUKAN SEKTOR PELANCONGAN DI NEGARA KITA

        Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara.Hal ini demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancongan ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.Pelancongan Asia Barat menunjukkan peningkatanpada tahun 2006 berbanding tahun 2005.Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun tersebut meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang lembap kini. Pada pendapat saya, pelbagai usaha dan aktiviti perlu dijalankan untuk menggalakkan pelancongan di Malaysia.


        Sebagai kesinambungan idea saya, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Kerajaan hendaklah menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab Saudi.


        Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini demikian juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain.


        Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong sebagai analoginya, tindakan yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut.

        Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit, sistematik dan pragramatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan pelancongan ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut.


        Selain itu, seharusnya kita tidak mengetepikan peranan sekolah dan peranan ibu bapadalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Memang diakui bahawa peranan sekolah dan ibu bapa amat penting dalam pendidikan anak. Ibu bapa yang menjadi guru di rumah haruslah mengasuh anak dengan sikap melentur buluh biarlah dari rebungnyatidak harus kita tepikan kerana api takala kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini supaya anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial seperti vandalisme yang menjatuhkan imej negara kita semasa pelancong dari luar negara datang ke negara kita. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah berperanan dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia. Oleh itu, subjek yang memperkenalkan Malaysia seperti Geografi dan Sejarah harus banyak di perkenalkan oleh guru Sejarah.


        Kelab pelancongan boleh ditubuhkan bagi memupuk minat pelajar untuk melancong. Seterusnya, pihak sekolah juga bolah manganjurkan aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan pertandingan membuat folio tentang tempat pelancongan untuk mendalami ilmu pengetahuan pelajar tentang tempat tersebut pelancongan tersebut.

        

        Selain itu, pihak sekolah juga boleh menampilkan filem tentang adat resam dan keistimewaan berkaitan tempat pelancongan seperti Sabah dan Sarawak. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa anak melancong supaya mereka tidak menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara keluarga tetapi juga dapat merehatkan minda sekeluarga. Oleh itu, peranan ibu bapa dan sekolah penting dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia.


      Ketika negara dan rakyat sedang rakus dan ghairah memburu kemajuan, kita sebagai masyarakat terlupa menjimatkan pengaliran keluar wang negara. Apabila melancong di negara kita, wang perbelanjaan untuk pelancongan diperolah semula oleh kerajaan melalui cukai yang dikenakan. Sekiranya melancong ke luar negara, segala perbelanjaan diperoleh oleh rakyat dan kerajaan negara asing. Perkara ini akan merugikan diri sendiri serta negara. Di samping itu, melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Dengan mengunjungi tempat-tempat yang belum pernah dilawati, kita dapat menambahkan pengetahuan dan mengenali secara lebih mendalam dan lebih dekat dengan khazanah warisan bangsa di tanah air kita.


  Tambahan pula, kita dapat mengetahui keunikan budaya dan tradisi masyarakat serta panorama di negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan aktiviti melancong dalam negara, kita akan mengetahui apa yang ada, yang kurang, yang perlu ada di tempat berkenan berbanding dengan tempat sendiri, kemudian menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negeri. Kita harus melancong di negara sendiri demi menghayati warisan khzanah bertaraf dunia yang masih belum dilawati.


    Deduksinya, pelbagai usaha dan kempen perlu diteruskan dan dipergiatkan untuk menarik lebih banyak pelancong agar melancong ke negara kita. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi pelancongan dan rakyat negara kita perlu berganding bahu bagi meningkatkan martabat industri pelancongan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Sekiranya rakyat dan pelbagai pihak tidak bekerjasama, sudah tentulah matlamat untuk memajukan ekonomi negara kita tidak akan tercapai. Oleh itu, kejayaan dalam sektor pelacongan di negara kita dapat direalisasikan sekiranya semua pihak berusaha memajukan industri pelancongan kerana pepatah mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.


13 - CARA-CARA MENCERIAKAN KAWASAN SEKOLAH ANDA

Anda telah menyertai pertandingan menulis esei sempena program bulan bahasa di sekolah anda.  Tajuk esei anda ialah ‘ cara-cara menceriakan kawasan sekolah’.  Tulis esei anda selengkapnya.


Analisis soalan:

Tema/isu    :     keceriaan kawasan sekolah

Tugasan     :    menulis esei tentang cara-cara menceriakan kawasan sekolah.

Format       :     rencana


        Sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu. Lantarannya persekitaran kawasan sekolah yang kondusif akan mempengaruhi keselesaan dan keberkesanan pelajar menuntut ilmu dan menelaah pelajaran. Sebagai pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Bak kata peribahasa, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Oleh itu, pihak sekolah perlu mengatur strategi yang berkesan untuk menceriakan kawasan sekolah.


      Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah dengan mengadakan program bergotong-royong. Aktiviti bergotong royong harus diadakan secara berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seisi warga sekolah. Gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing. Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.


        Tindakan yang seterusnya adalah mengadakan taman bunga di sekolah. “program sekolah dalamtaman” patut diadakan dengan menanam pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku.


        Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula. Mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ada menyatakan , “sekolahku syurgaku.” Dengan bantuan persatuan ibu bapa dan guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah. Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar.

         

        Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap minggu. Melalui aktiviti ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan memastikan susunan meja dan kerusi sentiasa berada dalam keadaan yang kemas dan teratur. Guru bertugas harian akan memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari. Nama kelas yang terbersih dan terkotor akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan sijil penghargaan sebagai ganjaran.  Sebaliknya kelas terkotor pula perlu diberi hukuman sebagai pengajaran supaya pelajar-pelajar lebih prihatin akan kebersihan kelas mereka pada masa yang akan datang.  Contohnya, antara bentuk denda yang boleh dilaksanakan ialah dengan menjalankan aktiviti pembersihan, seperti mencuci tandas, kantin, membersihkan kawasan padang dan sebagainya.   Memang tidak syak lagi, dengan adanya aktiviti seumpama ini pelajar akan terdidik dan terbiasa untuk sentiasa mengamalkan tabiat menjaga kebersihan dalam kehidupan mereka, bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.


        Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan program 3k. Program 3k bermaksud mengutamakan kebersihan, keindahan dan keselamatan. Dalam program ini, pihak sekolah perlu memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat. Hal ini demikian kerana pihak sekolah sentiasa mengadakan pemeriksaan dan penyeliaan dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, pihak kementerian pelajaran akan membuat pemantauan terhadap sekolah tersebut. Hal ini akan menjadi pemangikin dan meniup semangat pihak sekolah untuk memastikan program berjaya diadakan. Namun demikian, program 3k memerlukan komitmen daripada seluruh warga sekolah. Sebagai impaknya, sekiranya semua warga sekolah bekerja sama dan berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan program ini, impian untuk menjadikan sekolah sebagai sebuah tempat menuntut ilmu yang indah, bersih dan selamat akan tercapai


        Intihanya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah kerana sekolah yang bersih dan ceria akan menyediakan suasana yang sangat kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan.  Dalam hal ini, guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sokongan sekolah perlu melangkah sederap untuk sentiasa menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria.  Sekolah ceria, pelajar gembira, guru bahagia.


12 - KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN-BANGUNAN BERSEJARAH

Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan bangunan-bangunan bersejarah.  Huraikan pendapat anda tentang kepentingan memulihara bangunan-bangunan bersejarah di negara kita.


Analisis Soalan


TemaIsu    -       warisan bangunan bersejarah di negara kita

Tugasan     -       huraikan pendapat tentang kepentingan memulihara bangunan-bangunan bersejarah

Format       -       Tiada


Karangan Contoh


        Mutakhir ini, antara isu yang hangat dibincangkan di kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah. Walaupun keputusan yang telah diambil   adalah tidak meruntuhkan bangunan-bangunan warisan tersebut, namun, terdapat juga negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.


        Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.


        Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.


        Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.


        Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.


        Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.


11 - USAHA-USAHA MENJADIKAN MEMBACA SEBAGAI AMALAN HIDUP

Membaca Jambatan Ilmu.  Membaca merupakan suatu amalan mulia yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan remaja.  Tulis sebuah rencana tentang usaha-usaha untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup golongan remaja.


Analisis soalan:

Tema       -   amalan membaca

Tugasan -   menulis rencana tentang usaha-usaha untuk menjadikan membaca 

                      sebagai amalan hidup golongan remaja

Format    -   Rencana


Usaha-usaha Yang Boleh dilakukan oleh Remaja Untuk Menjadikan  Membaca Sebagai Amalan Hidup

         Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan pada hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa. Mereka lebih terdorong dan gemar melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah mereka melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh mereka khususnya dengan membaca? Apakah yang dimaksudkan dengan membaca dan apakah kepentingannya? 


     Membaca didefinisikan sebagai memerhati sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahami makna kandunganya. Kepentingannya pula adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan. Hal ini kerana, membacalah yang menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan, seperti cogan kata 'Membaca Jambatan Ilmu'.


         Walaubagaimanapun, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Hal ini amat berbeza bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun . Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, tanpa menuding jari ke arah orang lain kerana dikhuatiri bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, sebagai seorang pelajar dan remaja kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan membaca itu amalan hidup.


         Memang tidak dapat disangkal lagi, usaha yag pertama ialah atas diri remaja sendiri.   Remaja perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Seperti yang kita ketahui Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan. Tamsilnya, perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di sini, remaja dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Walaupun perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak dapat diterokai, remaja perlulah sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca. Walaupun sekadar sebuah buku seminggu, ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Remaja juga boleh melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti – universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri , remaja juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ, bak peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan itu , remaja perlulah rajin mengunjungi perpustakaan agar sentiasa terdorong untuk membaca.


          Selain itu , remaja juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini , remaja perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan di dalam Buku Nilam. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. 


       Tambahan pula, remaja juga perlu menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada masa senggang . Aktiviti ini jauh lebih baik berbanding remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa remaja ke arah negatif. Daripada remaja membiarkan masa yang terluang terbiar begitu sahaja, remaja perlu mengisinya dengan membaca kerana masa itu emas. Contohnya, remaja boleh menyusun jadual untuk membaca pada hujung minggu atau pada masa cuti persekolahan.  Marcus Aurelis pernah berkata,“jangan membuang masa memikirkan bagaimana untuk menjadi orang yang baik, sebaliknya mulakan dengan diri sendiri dahulu” . Di sini jelaslah bahawa remaja itu sendiri perlu menggalakkan dirinya  sendiri agar sentiasa membaca pada waktu senggang.


         Seterusnya , remaja juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan . Buku- buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja tetapi juga bercorak santai . Tamsilnya, Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi . Di manakah remaja boleh melanggan buku-buku tersebut ? Remaja boleh melanggannya di kedai-kedai buku , internet atau meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggan. Impaknya, remaja akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Remaja perlulah sentiasa berusaha mencari pelbagai jenis buku dengan cara melanggan buku pada setiap bulan. Persis kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


          Remaja juga boleh menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola . Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Diraja Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis tersohor, Sharifah Abu Salim . Apabila remaja menjadikan mereka sebagai idola, remaja akan sentiasa terdorong untuk membaca dan menjadi seperti mereka. Positifnya, remaja akan sentiasa menjadikan idola mereka itu sebagai hala tuju. Hal ini kerana, ketekalan dan kejituan mereka dalam usaha menulis buku untuk dijadikan bahan rujukan harus dihargai dan dijadikan pendorong . Justeru, remaja haruslah menjadikan tokoh-tokoh tersohor ini sebagai idola berbanding dengan menjadikan artis sebagai pujaan hati mereka. 


         Usaha yang terakhir ialah berkawanlah dengan rakan sebaya yang gemar membaca atau lebih dikenali sebagai ulat buku. Hal ini demikian kerana, pengaruh rakan sebaya amat kuat semasa peringkat remaja.  Sekiranya rakan-rakan remaja terdiri daripada mereka yang suka membaca pelbagi bahan bacaan, lama-kelamaan, remaja juga akan terikut-ikut dan terbiasa dengan amalan membaca.  Bak kata pepatah alah bisa tegalbiasa.   Dengan itu , remaja perlulah arif memilih rakan.  Jika remaja tersilap langkah dalam memilih rakan, tidak mustahil mereka akan menjadi duri dalam daging dalam hidup kita. 


         Konklusinya , sebagai seorang remaja kita perlulah sentiasa berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah biarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan “Membaca itu Jambatan Ilmu” dan “Rakyat Membaca , Bangsa Berjaya” seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia kita , Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak “generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju”. 


  


10 - KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara berbilang bangsa yang bersatu padu.  Kemukakan pendapat anda tentang kepentingan perpaduan kaum di negara kita.


Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.


          Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.


Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.


Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.


Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.


Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.


Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendahdengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikapmembutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.


Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.


09 - USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA


Berdasarkan gambar yang diberi, tulis karangan tentang usaha-usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum di Malaysia.


        Dewasa ini, isu perpauan kaum selalu dibincangkan. Umum mengetahui bahawa isu ini semakin hari semakin serius dibincangkan. Persoalannya mengapakah hal ini berlaku? Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama untuk mencari usaha-usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum. 

        Sesungguhnya, usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum adalah dengan mengadakan sambutan rumah terbuka. Hal ini demikian kerana sambutan ini dapat diraikan oleh semua kaum. Contohnya, dalam sambutan rumah terbuka Hari Raya, kaum Cina dan India boleh meraikannya bersama. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan mewujudkan perpaduan kaum. Benarlah sambutan rumah terbuka dapat memperkukuh perpaduan kaum.

        Selain itu, usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum adalah mewujudkan sekolah untuk semua kaum. Hal ini demikian kerana pelbagai kaum boleh belajar dalam satu sekolah yang sama. Contohnya, Sekolah Wawasan telah ditubuhkan oleh kerajaan.Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan memperkukuh perpaduan antara kaum.Tepatlah bahawa sekolah pelbagai kaum dapat mengukuhkan perpaduan kaum. 

        Di samping itu, usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum adalah mewujudkan persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Hal ini demikian keranapersefahaman penting untuk menjadi negara kita aman dan damai. Contohnya, setiap kaum perlu mengamalkan prinsip-prinsip gagasan 1 Malaysia. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan menyatukan semua kaum. Betullah bahawa persefahaman rakyat berbilang kaum amat penting.

        Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menangani isu perpaduan kaum ini. Jika tidak, kita tidak akan berjaya. Semoga akan lahir masyarakat yang bersatu padu di negara kita. Ingatlah peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.


08 - CARA-CARA MENGAWAL PENULARAN PENYAKIT BERJANGKIT

Sebagai pegawai kesihatan anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah sekolah tentang cara-cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit.

Tulis teks ceramah anda selengkapnya.


Analisis soalan: 

Isu           -   Penularan Penyakit Berbahaya

Tugasan -  menulis teks ceramah tentang cara-cara mengawalan penularan penyakit berjangkit

Format    -  ceramah


          Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa Puan Hjh Rohana bt Esmail, Yang dihormati barisan Guru Penolong Kanan, guru-guru, dan pelajar-pelajar sekalian. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana pihak sekolah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Cara-cara untuk Mengawal Penularan Penyakit Berjangkit”.


Tuan-tuan dan puan-puan,


Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Penularan penyakit berjangkit ini umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Antara penyakit berbahaya yang pernah melanda negara kita dan negara-negara luar ialah wabak selsema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk SARS).  Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penularan penyakit berjangkit terutama yang dapat menyebabkan kematian. Namun demikian, penularan penyakit masih lagi berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan oleh masyarakat untuk memastikan gejala penularan penyakit dapat dibendung.


Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan yang teratur dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang berterusan. Sebagai contohnya, setiap anggota masyarakat hendaklah menjaga kebersihan diri sepanjang masa. Kebersihan diri ialah asas yang akan mengelakkan tubuh dihinggapi penyakit. Penjagaan kesihatan juga melibatkan aktiviti senaman dan riadah yang sistematik. Masyarakat Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit jika tidakan yang teratur merupakan satu cara yang berkesan untuk mengawal penularan penyakit berjangkit, bak k menjaga kesihatan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini pelbagai jenis penyakit dikesan wujud di negara kita. Contohnya penyakit selesema burung yang bermula di luar negara telah menjangkiti penduduk negara ini. Oleh hal yang demikian penjagaan kesihatata peribahasa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.


Hadirin sekalian,


Selain itu, pihak berkuasa mesti mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar negara. Pihak jabatan imigresen dan juga jabatan kastam perlu menguatkuasakan kawalan yang ketat terhadap orang yang masuk ke negara ini. Jabatan kastam umpamanya, mestilah memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan peliharaan. Jika haiwan tersebut dijangkiti, pihak jabatan kastam hendaklah menyita dan memastikan haiwan tersebut tidak dibawa masuk. Dalam hal ini tumpuan khusus hendaklah diberikan pada pelancong dan haiwan dari negara-negara yang diketahui telah dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan. Misalnya suatu ketika dahulu negara China telah diserang penyakit selesema burung yang serius. Oleh itu pelancong dan barangan import yang berasaskan haiwan hendaklah diperiksa dengan lebih terperinci agar negara kita bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Jadi, pihak berkuasa hendaklah mengetatkan syarat kemasukan pelancongan dan barangan dari luar negara untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit, jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.


Tuan-tuan dan puan-puan,


Langkah untuk mengawal penularan penyakit berjangkit yang berikutnya ialah pihak kerajaan hendaklah melupuskan haiwan atau pembawa yang telah dijangkiti penyakit berjangkit dengan kadar segera. Tindakan tegas ini mestilah dilaksanakan tanpa mengira bantahan dan kritikan masyarakat. Kerajaan harus menjalankan tindakan ini kerana penyakit berjangkit biasanya merebak dengan pantas apabila pembawanya tidak dihapuskan,. Misalnya dalam kes penularan penyakit Selesema Burung, setiap unggas sama ada yang dipelihara atau yang hidup bebas perlu dilupuskan. Walaupun tindakan ini agak kejam sifatnya, kita tidak boleh pilih bulu atau berkompromi apabila kesihatan masyarakat awam terancam seperti kata peribahasa biar titik jangan tumpah. Kerugian akibat kematian haiwan peliharaan adalah lebih baik berbanding kehilangan nyawa manusia akibat diserang penyakit berjangkit. Tindakan tersebut juga hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera. Pihak berwajib tidak harus menanti keputusan majoriti kerana penularan penyakit tidak akan berhenti jika tidak dibendung. Tindakan yang lambat akan mendatangkan kesan buruk apabila penyakit berkenaan tidak lagi dapat dikawal dengan menyeluruh. Oleh itu, pelupusan haiwan atau pembawa penyakit hendaklah disegerakan untuk memastikan penularannya dapat dikawal.


Tuan-tuan yang dihormati,


Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan penyakit berjangkit dalam dibendung penularannya. Dalam hal ini, semua anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing agar penyakit berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal akibat kelekaan kita mendatangkan kesan buruk kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Kerjasama semua pihak sudah pasti akan melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyusun jari sepuluh, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan. 


Sekian, terima kasih.