Sebagai seorang guru kaunselor , anda telah menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar sempena program motivasi di sekolah anda. Tajuk ceramah anda ialah ‘Ciri-ciri Pelajar Cemerlang.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.
Yang berusaha,
ahli jawatankuasa program motivasi 'Permata Hati', yang dihormati guru-guru
serta pelajar-pelajar SMK Dato’ Syed Esa yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Terlebih
dahulu, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan kerana
pada pagi yang ceria ini, kita dapat bersama-sama dalam program motivasi
'Permata Hati' yang sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5
yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak beberapa lama lagi. Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini
ialah tentang 'Ciri-ciri Pelajar Cemerlang'.
Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Semua insan inginkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Malah, semua pelajar yang berada di dalam Dewan Budiman yang permai ini juga ingin menjadi pelajar yang cemerlang. Pendek kata, semua pelajar ingin cemerlang dalam semua bidang yang diceburi. Contohnya, sudah pasti pelajar ingin cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya. Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau. Persoalanya, apakah sebenarnya ciri-ciri pelajar cemerlang? Bagaimanakah caranya untuk menjadi cemerlang? Apakah pelajar di hadapan saya ini pelajar yang cemerlang? Bersedialah wahai pelajar-pelajar, kerana sebentar lagi kita akan bersama-sama mengupas tajuk ciri-ciri pelajar yang cemerlang.
Para pelajar yang disayangi,
Memang tidak dapat dinafikan, ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk memastikan pecapaian akademik mereka sentiasa memberangsangkan dalam setiap ujian dan peperiksaan. Contohnya, pelajar cemerlang akan mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan bagi memastikan pencapaian akademik mereka sentiasa cemerlang.
Selain itu, semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Sebagai contoh, pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada dalam diri sendiri mahupun persekitarannya. Pelajar cemerlang tidak meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.
Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.
Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,
Selanjutnya ialah, pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar cemerlang berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij.
Apakah tindakan ke sana ke mari dengan buku sehingga digelar sebagai 'ulat buku' merupakan ciri pelajar yang cemerlang? Sebenarnya, Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti kokurikulum.
Disiplin asas kejayaan. Oleh itu, pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai pelajar skema yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi. Sebagai contoh, pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Setiap kali diberi tugasan, pelajar cemerlang tidak melaksanakannya dengan sambalewa semata-mata seperti "melepaskan batuk di tangga". Jelaslah prinsip pelajar cemerlang ialah mementingkan disiplin dalam memacu kecemerlangan hidup mereka.
Seterusnya, pelajar cemerlang juga perlu menampilkan sahsiah dan budi pekerti yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa, pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.
Akhirnya, satu lagi ciri yang sangat penting ialah, pelajar cemerlang sentiasa berpegang teguh pada tali agama. Kepercayaan dan kepatuhan kepada suruhanNya sepatutnyalah menjadi perkara utama dalam kehidupan ini. Contohnya, pelajar yang cemerlang sentiasa berusaha melaksanakan suruhan Tuhan dan menjauhi larangannya. Malah pegangan agama yang kukuh menjadi penyuluh dan petunjuk jalan dalam kehidupan pelajar supaya sentiasa berada pada jalan kebenaran. Hal ini demikian kerana, pelajar yang cemerlang sentiasa meninginkan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Sebagai kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan agama. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Oleh itu pelajar cemerlang haruslah sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan setiap masa dan jangan sesekali menganggap bahawa diri mereka serba sempurna.
Sebelum saya menamatkan ceramah pada hari ini, saya percaya tentu pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya ini sedang tertanya-tanya kepada diri sendiri. Antara persoalan yang mundar-mandir di minda ialah adakah ciri-ciri yang telah dinyatakan tadi dalam diriku? Mampukah saya menggarab ciri-ciri kecemerlangan tersebut. Jawapanya ialah, jika hanya satu atau dua ciri sahaja yang ada dalam diri pelajar-pelajar ketika ini, syabas dan tahniah saya ucapkan. Satu permulaan yang baik dan teruskan untuk mencapai ciri-ciri kecemerlangan itu. Saya percaya dan penuh keyakinan bahawa semua pelajar akan mampu menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tepuk dada tanya selera.