\ WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM 2024
SELAMAT DATANG KE WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM 2024. PIHAK PENDTADBIR BERHARAP AGAR ANDA DAPAT MEMANFAATKAN BAHAN & RUJUKAN DISINI DENGAN SEBAIK MUNGKIN. SEKIAN TERIMA KASIH.

2 Januari 2022

19 - HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

 Maksud: Hanya bersemangat pada mulanya, tetapi malas pada pertengahan jalan


Contoh Soalan:

Tuliskan satu cerita berdasarkan maksud peribahasa 'hangat-hangat tahi ayam'.


      Kehadiran Ahmad disambut mesra oleh rakan-rakan kelas baharunya. Dia merupakan pelajar yang berpindah dari sekolah lamanya kerana mengikut ibu bapanya yang bertukar tempat kerja. Ahmad menonjolkan sikap baik dan bersopan-santun agar tidak dipandang serong oleh rakan-rakan baharunya. Ternyata, penerimaan Ahmad oleh teman-temannya tidak mengecewakan. Hari pertama persekolahan lagi, dia sudah didampingi rakan-rakan menyebabkan dia tidak lagi kekok dengan situasi di sekolah baharunya.

    Sikap rajin dan berdisiplinnya menyebabkan dia dihormati oleh rakan-rakannya. Dia juga menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Gurunya memberikan sokongan moral apabila mengetahui impian besarnya itu. Malah, dia sentiasa aktif di dalam kelas dan senantiasa bertanyakan soalan jika dia tidak memahaminya. Namun, sikap eloknya itu tidak berkekalan. Pergaulannya mulai liar setelah dia berkawan dengan pelajar bermasalah. Dia mula mengabaikan pelajaran sedangkan suatu ketika dahulu dia begitu bersungguh-sungguh di dalam kelas. Dia tidak lagi dihormati malah dicemuh kerana hanya berpura-pura selama ini. Ahmad mengendahkan segala pandangan terhadap dirinya kerana kini dua sudah memiliki kawan-kawan karib yang sebenarnya merosakkan dirinya.

     Sungguhpun begitu, guru-guru yang prihatin menegurnya supaya berubah. Apabila sahaja dia ditegur, dia pasti akan menangis dan mula bertekad untuk membuang tabiat buruknya. Teguran gurunya memberikan inspirasi baharu untuk dirinya berubah. Namun, semangat membaranya hanya seketika sahaja. Dua atau tiga minggu kemudian setelah ditegur, dia akan mengulangi perbuatannya itu. Mujurlah, guru-guru yang mengajarnya tidak jemu dan berputus asa untuk menegurnya agar sikap dan kelakuan Ahmad akan berubah. Guru kelasnya senantiasa memantau sikap Ahmad demi tidak hanyut dalam kancah negatif.

    Sikap kepala angin Ahmad ini membingungkan rakan-rakan sekelasnya. Sekejap Ahmad menjadi pelajar yang sangat rajin, seketika nanti dia menjadi pelajar yang bermalah. Ahmad hanya bersemangat pada mulanya, tetapi menjadi dingin setelah jemu berusaha. Kata-kata gurunya bagai mencurahkan air ke daun keladi kerana dia mula mengabaikan pesanan gurunya. Ahmad semakin hari semakin teru perangainya, malah mula ponteng sekolah dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Ramai rakan sekelasnya tertanya-tanya ke manakah hilangnya semangat juang untuk berjaya Ahmad

    Musim peperiksaaan semakin tiba. Ahmad masih leka dengan dunianya sedangkan detik pentingnya sebagai pelajar bakal teruji. Dengan angkuhnya, dia mengabaikan pelajaran kerana yakin dia telah berusaha. Ibu bapanya yang menyedari sikap Ahmad ini turut menegur sikapnya yang kurang elok ini. Sebagai akibatnya, keputusan akhir tahunnya sangat teruk. Malah, dia diturunkan kelas dan bersama-sama dengan pelajar lemah yang bermasalah. Malunya tidak kepalang kerana dijadikan bahan tawa rakan-rakannya yang dahulu mengaku sahabat karib.

    Keinsafan mulai timbul dalam hati ahmad. Sikap buruknya ini harus dikikis untuknya berjaya. Memang sahlah, pepatah tua, “hangat-hangat tahi ayam”, ditujukan kepada dirinya kerana hanya bersemangat pada mulanya, tetapi akhirnya mengalah. Kesedarannya untuk berubah kini bukan sahaja jangka masa pendek, tetapi untuk selama-lamanya demi masa hadapan yang gemilang.

18 - SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN

    Dalam masyarakat Melayu terdapat begitu banyak peribahasa yang mempunyai maksud yang mendalam. Kebiasaannya, peribahasa Melayu terhasil daripada pengamatan masyarakat terhadap alam dan kehidupan manusia secara keseluruhan. Peribahasa “sediakan paying sebelum hujan” merupakan bidalan yang bermaksud kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam kehidupan ini. Jelaslah, pengamalan peribahasa ini mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan sesuatu masyarakat itu.

    Seseorang yang mengamalkan peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” akan senantiasa meneroka ilmu sebagai persediaan untuk kehidupan masa depan mereka. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran ini akan sesuai dilalui oleh mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Ilmu sahaja yang membolehkan seseorang itu menguasai apa-apa bidang yang wujud kerana berupaya untuk mengalahkan pesaing-pesaing mereka. Oleh itu, pemahaman makna peribahasa ini menjadikan seseorang itu meneroka ilmu sepanjang hidup mereka.

    Selain itu, peribahasa ini turut mengaitkan sikap suka menabung. Anak-anak perlu dididik sejak kecil untuk menabung buat kehidupan mereka yang lebih terjamin pada masa depan. Wang yang dikumpulkan secara sedikit-sedikit itu akan mampu digunakan pula untuk melanjutkan pelajaran mereka kelak. Jelaslah, amalan menabung menjadi sebahagian makna dalam peribahasa ini yang banyak kepentingannya itu.

    Malahan, peribahasa ini seolah-olah memberikan satu amaran awal kepada sesiapa sahaja untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidupnya. Mereka yang memahami peribahasa ini pasti lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan pula kepada. Setiap tindakan pasti akan mempunyai dua pilihan atau aspek yakni kebaikan dan keburukan yang harus diteliti oleh seseorang itu. Sesungguhnya, peribahasa ini menjauhkan sebarang masalah dalam kehidupan seseorang itu.

    Peribahasa ini juga amat berguna buat pelajar terutama dalam menghadapi peperiksaan yang begitu mencabar. Mereka yang memahami maksud mendalam peribahasa ini sudah pasti akan bersedia dengan sering menghadiri kelas di sekolah bersama-sama membuat latihan demi latihan. Persediaan sejak awal inilah yang bakal memberikan pelajar satu kelebihan berbanding dengan pelajar lain yang hanya membuat persiapan pada saat-saat akhir sahaja. Sesungguhnya, pelajar yang bersedia lebih awal akibat memahami makna peribahasa ini bakal memperoleh kejayaan yang lebih manis dalam hidup mereka.

    Kesimpulannya, peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” amat wajar diamalkan dalam kehidupan kita. Peribahasa ini merupakan satu legasi masyarakat dahulu kepada generasi kini yang perlu diteruskan kewujudannya. Kehidupan masyarakat dahulu kala yang sentiasa berwaspada, beringat-ingat dan berhati-hati perlu dijadikan contoh teladan oleh generasi kini pula. Peribahasa ini boleh disamakan dengan peribahasa “beringat sebelum kena” yang menekankan aspek berhati-hati dalam setiap tindakan kita.

17 - LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU

    Mutakhir ini, negara kita sedang bergelut dengan masalah pencemaran udara iaitu jerebu yang semakin membimbangkan.  Beberapa buah negeri telah dikenal pasti sebagai negeri yang paling teruk terjejas akibat jerebu terutamanya negeri Johor.  491 buah sekolah di beberpa daerah di Johor terpaksa ditutup.  Beberapa lapangan terbang juga ditutup manakala penerbangan dari Senai, Johor dijadual semula.  Paling membimbangkan, pesakit yang berkaitan pernafasan meningkat dengn mendadak.  Persoalannya, apakah langkah-langkah mengatasi masalah yang menjadi duri dalam daging bagi negara kita

    Memang tidak dinafikan,  tindakan segera untuk menghentikan pembakaran hutan secara terbuka dan secara besar-besaran diperlukan. Tindakan secara kolektif dengan penggunaan alat pemadam api yang canggih dan saintifik boleh membantu mengurangkan masalah jerebu. Di samping itu juga undang-undang ketat perlu dikenakan terhadap pihak atau syarikat tertentu yang sengaja membakar hutan untuk tujuan pertanian.

    Selain itu,  bahan pencemaran udara haruslah dikurangkan untuk mengelakkan masalah jerebu di negara kita. Kesesakan lalu lintas menambahkan karbón dioksida, karbón monoksida dan sebagainya yang menambahkan keadaan berjerebu. Oleh yang demikian, bilangan kenderaan yang menggunakan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan yang terlibat seperti Kuala Lumpur haruslah disekat atau dikurangkan.

    Seterusnya,  jerebu boleh dihilangkan dengan usaha pembenihan awan bagi menurunkan hujan. Hujan adalah pembersih udara semula jadi yang terbaik. Pihak Jabatan Alam Sekitar telah bekerjasama dengan Puncak Niaga Sdn. Bhd telah melakukan beberapa siri pembenihan awan khususnya di sekitar Lembah Klang dan negeri Selangor.

    Tambahan pula, masalah jerebu juga boleh dikurangkan dengan menggunakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk mengenal pasti kawasan yang bermaslah dan mengambil tindakan susulan untuk mengatasi maslah jerebu. Pembacaan indeks haruslah dilakukan dari semasa ke semasa agar usaha mengehadkan kilang-kilang daripada pengeluaran asap atau gas yang berlebihan dapat diatasi

    Masalah jerebu juga boleh diselesaikan melalui persepakatan bersama antara negara jiran dan pada peringkat global diperlukan untuk menangani masalah alam sekitar . Kerjasama boleh dilakukan dari segi perlindungan alam sekitar secara kolektif dan kajian saintifik dan kajian saintifik digiatkan untuk menangani masalah ini.

    Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.” Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.


16 - KESAN-KESAN NEGATIF JEREBU

    Memang tidak dinafikan juga, fenomena jerebu mendatangkan kesan negatif terutama terhadap tahap kesihatan rakyat di negara kita.   Antaranya ialah, jerebu boleh menjejaskan kesihatan rakyat terutamanya sistem pernafasan dan boleh menyebabkan penyakit asma, sakit kerongkong, selesema, batuk, nemonia dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jantung.  Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah.  Oleh itu bilangan golongan tua dan kanak-kanak yang jatuh sakit berkaitan dengan sistem pernafasan telah meningkat mendadak akibat jerebu dan terpaksa menerima rawatan di hospital atau di klinik.

    Selain itu, kesan jerebu juga boleh mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu berupaya menyerap dan menyerakkan cahaya matahari.    Hal ini amat menakutkan kerana risiko kemalangan boleh berlaku seperti kapal terbang dan kapal laut atau kenderaan di jalan raya menjadi semakin besar.  Keadaan ini amat membahayakan keselamatan rakyat kerana kemalangan boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa.

    Tambahan pula, aktiviti harian masyarakat turut terjejas akibat masalah jerebu.  Apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada di tahap tidak sihat atau membahayakan, sebarang bentuk aktiviti luar tidak digalakkan.  Contohnya, di kawasan-kawasan yang dilanda jerebu, banyak sekolah terpaksa ditutup demi menjamin kesihatan pelajar.  Program-program dan acara luar seperti sukan, dibatalkan.  Keadaan ini menunjukkan bahawa masalah jerebu telah mengganggu aktiviti harian masyarakat di negara kita.

    Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu.

    Selimut jerebu  pula biasanya hilang selepas hujan turun. Namun begitu, hujan yang turun selepas fenomena jerebu berlaku akan memberikan kesan sampingan yang berpunca daripada hujan asid. Hujan ini seterusnya akan merosakkan tanaman dan tumbuhan, meningkatkan nilai keasidan tanah dan air sekaligus mengganggu keseimbangan dalam ekosistem seperti ekosistem akuatik, ekosistem hutan dan ekosistem muara.

    Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.

    Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi masalah tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat berkembang maju dalam semua bidang.

         


15 - PUNCA-PUNCA MASALAH JEREBU

Memang tidak dapat dinafikan, masalah jerebu merupakan fenomena cuaca yang dialami oleh negara kita saban tahun.  Fenomena ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara  Jerebu berlaku apabila kehadiran partikel terampai di atmosfera seperti gas-gas, debu, habuk, dan zarah di dalam keadaan udara kering. Di Malaysia tahap kualiti udara ditunjukkan oleh Indeks Pencemaran Udara (IPU). Tahap kualiti udara yang teruk ialah IPU 101-400. Namun, realitinya keadaan udara yang berjerebu di negara kita amat membahayakan kesihatan rakyat.  Persoalannya, apakah punca-punca berlakunya masalah jerebu.

       Sebenarnya, masalah jerebu berpunca daripada kegiatan manusia sendiri iaitu pertamanya melalui pambakaran hutan secara besar-besaran tanpa menimbangkan kesan terhadap alam sekitar.  Contohnya, asap tebal hampir menjadi masalah tahunan kepada Singapura dan Malaysia, selalunya bermula pada pertengahan tahun apabila peladang di Indonesia membersihkan ladang secara murah dengan membakarnya.  Maklumat daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia hingga ke selatan Pantai Barat Semenanjung.  Keadaan ini telah menyebabkan Malaysia mengalami masalah jerebu yang membimbangkan.

          Selain itu, faktor yang memburukkan lagi keadaan ialah  tindakan  masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan sehingga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap atau bahan buangan sama ada individu ataupun pemilik kilang. Contohnya, sesetengah anggota masyarakat melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Begitu juga pemilik kilang kain, papan dan sebagainya bertindak membakar sendiri bahan buangan kilang mereka.  Mereka tidak betanggungjawab dan tidak mengambil kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu.  Mereka juga tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini mengakibatkan asap dilepaskan ke udara dan mengakibatkan jerebu.

       Tambahan pula,  peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya dan telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan keadaan jerebu bertambah parah kerana kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap yang mencemarkan udara.  Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas.  Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

        Seterusnya,  pengeluaran asap yang tidak terkawal dari kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian yang menggunakan minyak dan arang batu turut menjadi punca utama jerebu.   Sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang dilepaskan ke udara dan telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu.  Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara.  Contoh kawasan perindustrian ialah Seguntor di Sandakan dan Lembah Klang.

           Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah jerebu ini.  Usaha ini sangat penting demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.  sebelum terlambat, sebelum nasi menjadi bubur, , pihak kerajaan terutamanya perlu mengorak langkah drastik bagi mengatasi masalah jerebu ini dari terus-menerus menghantui negara kita.  Rakyat yang sihat merupakan tonggak utama untuk memastikan kemajuan negara kerana 'Rakyat Sihat Negara Maju'.


10 Disember 2020

14 - USAHA-USAHA UNTUK MEMAJUKAN SEKTOR PELANCONGAN DI NEGARA KITA

        Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara.Hal ini demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancongan ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.Pelancongan Asia Barat menunjukkan peningkatanpada tahun 2006 berbanding tahun 2005.Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun tersebut meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang lembap kini. Pada pendapat saya, pelbagai usaha dan aktiviti perlu dijalankan untuk menggalakkan pelancongan di Malaysia.


        Sebagai kesinambungan idea saya, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Kerajaan hendaklah menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab Saudi.


        Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini demikian juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain.


        Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong sebagai analoginya, tindakan yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut.

        Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit, sistematik dan pragramatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan pelancongan ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut.


        Selain itu, seharusnya kita tidak mengetepikan peranan sekolah dan peranan ibu bapadalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Memang diakui bahawa peranan sekolah dan ibu bapa amat penting dalam pendidikan anak. Ibu bapa yang menjadi guru di rumah haruslah mengasuh anak dengan sikap melentur buluh biarlah dari rebungnyatidak harus kita tepikan kerana api takala kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini supaya anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial seperti vandalisme yang menjatuhkan imej negara kita semasa pelancong dari luar negara datang ke negara kita. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah berperanan dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia. Oleh itu, subjek yang memperkenalkan Malaysia seperti Geografi dan Sejarah harus banyak di perkenalkan oleh guru Sejarah.


        Kelab pelancongan boleh ditubuhkan bagi memupuk minat pelajar untuk melancong. Seterusnya, pihak sekolah juga bolah manganjurkan aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan pertandingan membuat folio tentang tempat pelancongan untuk mendalami ilmu pengetahuan pelajar tentang tempat tersebut pelancongan tersebut.

        

        Selain itu, pihak sekolah juga boleh menampilkan filem tentang adat resam dan keistimewaan berkaitan tempat pelancongan seperti Sabah dan Sarawak. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa anak melancong supaya mereka tidak menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara keluarga tetapi juga dapat merehatkan minda sekeluarga. Oleh itu, peranan ibu bapa dan sekolah penting dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia.


      Ketika negara dan rakyat sedang rakus dan ghairah memburu kemajuan, kita sebagai masyarakat terlupa menjimatkan pengaliran keluar wang negara. Apabila melancong di negara kita, wang perbelanjaan untuk pelancongan diperolah semula oleh kerajaan melalui cukai yang dikenakan. Sekiranya melancong ke luar negara, segala perbelanjaan diperoleh oleh rakyat dan kerajaan negara asing. Perkara ini akan merugikan diri sendiri serta negara. Di samping itu, melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Dengan mengunjungi tempat-tempat yang belum pernah dilawati, kita dapat menambahkan pengetahuan dan mengenali secara lebih mendalam dan lebih dekat dengan khazanah warisan bangsa di tanah air kita.


  Tambahan pula, kita dapat mengetahui keunikan budaya dan tradisi masyarakat serta panorama di negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan aktiviti melancong dalam negara, kita akan mengetahui apa yang ada, yang kurang, yang perlu ada di tempat berkenan berbanding dengan tempat sendiri, kemudian menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negeri. Kita harus melancong di negara sendiri demi menghayati warisan khzanah bertaraf dunia yang masih belum dilawati.


    Deduksinya, pelbagai usaha dan kempen perlu diteruskan dan dipergiatkan untuk menarik lebih banyak pelancong agar melancong ke negara kita. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi pelancongan dan rakyat negara kita perlu berganding bahu bagi meningkatkan martabat industri pelancongan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Sekiranya rakyat dan pelbagai pihak tidak bekerjasama, sudah tentulah matlamat untuk memajukan ekonomi negara kita tidak akan tercapai. Oleh itu, kejayaan dalam sektor pelacongan di negara kita dapat direalisasikan sekiranya semua pihak berusaha memajukan industri pelancongan kerana pepatah mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.


13 - CARA-CARA MENCERIAKAN KAWASAN SEKOLAH ANDA

Anda telah menyertai pertandingan menulis esei sempena program bulan bahasa di sekolah anda.  Tajuk esei anda ialah ‘ cara-cara menceriakan kawasan sekolah’.  Tulis esei anda selengkapnya.


Analisis soalan:

Tema/isu    :     keceriaan kawasan sekolah

Tugasan     :    menulis esei tentang cara-cara menceriakan kawasan sekolah.

Format       :     rencana


        Sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu. Lantarannya persekitaran kawasan sekolah yang kondusif akan mempengaruhi keselesaan dan keberkesanan pelajar menuntut ilmu dan menelaah pelajaran. Sebagai pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Bak kata peribahasa, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Oleh itu, pihak sekolah perlu mengatur strategi yang berkesan untuk menceriakan kawasan sekolah.


      Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah dengan mengadakan program bergotong-royong. Aktiviti bergotong royong harus diadakan secara berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seisi warga sekolah. Gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing. Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.


        Tindakan yang seterusnya adalah mengadakan taman bunga di sekolah. “program sekolah dalamtaman” patut diadakan dengan menanam pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku.


        Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula. Mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ada menyatakan , “sekolahku syurgaku.” Dengan bantuan persatuan ibu bapa dan guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah. Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar.

         

        Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap minggu. Melalui aktiviti ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan memastikan susunan meja dan kerusi sentiasa berada dalam keadaan yang kemas dan teratur. Guru bertugas harian akan memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari. Nama kelas yang terbersih dan terkotor akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan sijil penghargaan sebagai ganjaran.  Sebaliknya kelas terkotor pula perlu diberi hukuman sebagai pengajaran supaya pelajar-pelajar lebih prihatin akan kebersihan kelas mereka pada masa yang akan datang.  Contohnya, antara bentuk denda yang boleh dilaksanakan ialah dengan menjalankan aktiviti pembersihan, seperti mencuci tandas, kantin, membersihkan kawasan padang dan sebagainya.   Memang tidak syak lagi, dengan adanya aktiviti seumpama ini pelajar akan terdidik dan terbiasa untuk sentiasa mengamalkan tabiat menjaga kebersihan dalam kehidupan mereka, bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.


        Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan program 3k. Program 3k bermaksud mengutamakan kebersihan, keindahan dan keselamatan. Dalam program ini, pihak sekolah perlu memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat. Hal ini demikian kerana pihak sekolah sentiasa mengadakan pemeriksaan dan penyeliaan dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, pihak kementerian pelajaran akan membuat pemantauan terhadap sekolah tersebut. Hal ini akan menjadi pemangikin dan meniup semangat pihak sekolah untuk memastikan program berjaya diadakan. Namun demikian, program 3k memerlukan komitmen daripada seluruh warga sekolah. Sebagai impaknya, sekiranya semua warga sekolah bekerja sama dan berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan program ini, impian untuk menjadikan sekolah sebagai sebuah tempat menuntut ilmu yang indah, bersih dan selamat akan tercapai


        Intihanya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah kerana sekolah yang bersih dan ceria akan menyediakan suasana yang sangat kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan.  Dalam hal ini, guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sokongan sekolah perlu melangkah sederap untuk sentiasa menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria.  Sekolah ceria, pelajar gembira, guru bahagia.