\ WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM 2024
SELAMAT DATANG KE WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU SPM 2024. PIHAK PENDTADBIR BERHARAP AGAR ANDA DAPAT MEMANFAATKAN BAHAN & RUJUKAN DISINI DENGAN SEBAIK MUNGKIN. SEKIAN TERIMA KASIH.

2 Januari 2022

21 - USAHA-USAHA PELBAGAI PIHAK UNTUK MENGGALAKKAN AMALAN MEMBACA DALAM KALANGAN REMAJA

Membaca jambatan ilmu.Namun, kepesatan kemajuan teknologi maklumat kini, menyebabkan remaja leka dengan ciptaan gajet-gajet terkini dan mengabaikan amalan membaca dalam kehidupan.

Bincangkan usaha-usaha untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja.

    Memang tidak dapat dinafikan dalam meneroka zaman kepesatan kemajuan teknologi maklumat kini, manusia cenderung kepada kebendaan. Justeru, amalan membaca telah diabaikan dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja kerana mereka leka dengan ciptaan-ciptaan gajet teknologi maklumat seperti telefon bimbit dan internet. Sebenarnya, kepentingan membaca sebagai wahana untuk menimba ilmu pengetahuan terpancar melalui cogan kata yang sering diwar-warkan iaitu 'Membaca Jambatan Ilmu'. Malahan, amalan membaca sangat penting  bagi mempercepat usaha kerajaan untuk merealisasikan Wawasan 2020 melalui pembentukan rakyat yang berilmu pegetahuan. Justeru, fenomena kurang membaca dalam kalangan remaja perlu dibenteras daripada berterusan.  Persoalannya, apakah langkah-langkah berkesan yang perlu diambil untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja.

 

    Sebenarnya, usaha untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja mesti bermula daripada diri remaja sendiri.  Hal ini demikian kerana, walaupun banyak usaha yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak, untuk menggalakkan amalan membaca ini, namun tidak akan mendatangkan impak yang diharap-harapkan jika remaja sendiri tidak mempunyai kesedaran tentang hal tersebut.  Perumpamaannya 'kita boleh memaksa seekor kuda untuk masuk ke dalam air sungai, tetapi kita tidak akan dapat memaksa kuda tersebut minum air sungai tersebut'  Dalam hal ini, setiap remaja perlu menyedari akan betapa pentingnya amalan membaca dalam mengubah diri mereka menjadi insan yang berilmu pengetahuan dan berkualiti.  Sehubungan dengan itu, remaja perlu memiliki jati diri dan berpendirian teguh dalam mengurus kehidupan mereka dan tidak hanya hanyut dan tenggelam dalam arus kemajuan teknologi maklumat semata-mata.  Remaja juga mesti memiliki disiplin diri untuk memastikan amalan membaca dipraktikkan setiap hari.  Contohnya, remaja boleh meluangkan sedikit masa untuk membaca surat khabar, majalah, novel, buku-buku teks mata pelajaran, dan sebagainya sebagai rutin harian. Hal ini boleh dilaksanakan dengan membuat jadual harian dan memasukkan aktiviti membaca sebagai aktiviti yang utama. Justeru, jika remaja sendiri dapat mendisiplinkan diri sendiri untuk mengamalkan aktiviti membaca ini, sudah pasti membaca akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.  Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

 

    Selain itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Justeru , amalan membaca perlu dipupuk oleh ibu bapa sejak kecil kerana jiwa anak-anak kecil umpama sehelai kain putih, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkannya.  Jiwa kanak-kanak juga masih lembut umpama rebung dan mudah dilentur dan dididik menjadi insan yang suka akan buku dan seterusnya suka membaca. Contohnya, sejak kecil lagi ketika anak-anak belum boleh membaca, ibu bapa sendiri boleh membacakan untuk mereka buku-buku cerita yang bersesuaian.  Ibu bapa juga boleh menghadiahi anak-anak mereka buku-buku pada hari ulang tahun kelahiran ataupun sebagai penghargaan atas pencapaian anak-anak dalam pelbagai bidang.  Jelaslah, jika ibu bapa dapat menyemai amalan membaca ini sejak anak-anak masih kecil, usaha untuk melahirkan remaja yang suka membaca akan tercapai.

  

    Tambahan pula, pepatah Melayu juga menyebut  Bagaimana acuan, begitulah kuihnya yang menjelaskan bahawa ibu bapa sendiri mesti mengamalkan budaya membaca di rumah sekiranya ingin membentuk anak-anak yang juga gemar membaca.  Hal ini demikian kerana,   ibu bapa berperanan menjadi suri teladan atau 'role model' kepada anak-anak terutama yang masih di bangku sekolah.  Ibu bapa  perlu menjadikan  amalan membaca sebagai hobi yang menyeronokkan dan boleh dilakukan bersama-sama anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh menyediakan satu ruang atau bilik di rumah sebagai perpustakaan mini yang menempatkan pelbagai buku dan bahan bacaan untuk keluarga. Di ruang inilah ibu bapa boleh membaca bersama-sama anak-anak pada waktu lapang atau cuti hujung minggu.  Oleh itu, jelaslah sekiranya ibu bapa sendiri berjaya menjadikan amalan membaca sebagai rutin kehidupan, pastilah amalan  ini  akan dicontohi oleh anak-anak dan amalan mulia ini akan berkembang mekar dalam sanubari mereka sehingga mereka melangkah ke alam remaja seterusnya menjadi dewasa kelak.  

 

    Seterusnya, peranan pihak sekolah juga tidak boleh disisihkan dalam usaha menggalakkan amalan membaca ini.  Hal ini demikian kerana, selain di rumah, remaja menghabiskan sebahagian besar masa mereka di sekolah. Justeru pihak sekolah perlu melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan pelajar-pelajar.  Contohnya, melalui program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang dilaksanakan oleh pihak sekolah merupakan penggabungan semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai kepada pelajar mengikut bilangan buku yang telah dibaca.  Usaha-usaha galakan membaca yang berterusan perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah melalui aktiviti-aktiviti koakademik yang dikendalikan unit Pusat Sumber Sekolah, Ketua-ketua Bidang Mata pelajaran, Panatia-panatia Mata Pelajaran, persatuan-persatuan dan sebagainya. Contohnya, aktiviti seperti Bulan Bahasa, Bulan Membaca, pertandingan yang berkaitan dengan membaca dan sebagainya perlu dijalankan. Selain itu, semua guru perlu sentiasa menekankan kepentingan membaca kepada pelajar-pelajar dan memberi dorongan serta ganjaran yang sewajarnya.  Oleh itu, sekiranya usaha-usaha untuk menggalakkan amalan membaca yang lebih sistematik, terancang dan berterusan akan membentuk pelajar-pelajar yang suka membaca dan seterusnya menjadi insan yang cemerlang pada masa depan.

 

    Selain itu, masyarakat sekitar, seperti syarikat penerbitan buku, majalah, surat khabar dan agensi-agensi kerajaan turut mempunyai peranan dan tanggungjawab besar untuk menggalakkkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.  Sebagai contoh, syarikat penerbitan surat khabar seperti Berita Harian dan New Straits Times boleh membuat tajaan surat khabar keluaran mereka di sekolah-sekolah untuk dijadikan bahan bacaan dan bahan bantu mengajar kepada guru di dalam bilik darjah.  Syarikat penerbitan buku pula boleh mengadakan pameran di sekolah serta memberi potongan harga yang bersesuaian untuk menarik minat pelajar membeli bahan-bahan bacaan yang disukai.  Pendedahan dan kemudahan memperoleh buku sudah pasti menjadi pemangkin untuk menggalakkan pelajar membaca pelbagai bahan bacaan dan tidak terhad kepada buku teks dan buku rujukan mata pelajaran sahaja.


    Secara lebih meluas pula,  syarikat penerbitan dan agensi kerajaan wajar mengadakan pameran bagi mempamerkan buku-buku dan bahan bacaan terbitan terbaru dan menarik isi kandungannya. Pesta buku juga harus diadakan untuk mempamerkan buku-buku dan bahan bacaan yang terbaru dan berkualiti.  Dalam pameran dan pesta buku, pihak penganjur juga boleh menjemput penulis terkemuka untuk memberi peluang  kepada sesiapa yang berminat dengan karyanya bersua muka.   Aktiviti-aktiviti yang menarik ini pastinya akan mencetuskan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

 

    Kekangan utama untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja khususnya dan masyarakat amya berkait rapat dengan kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan.   Oleh itu, dalam usaha untuk membentuk masyarakat berilmu pengetahuan, pihak kerajaan tidak harus menutup sebelah mata kepada masyarakat yang tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman.  Kerajaan telah menyediakan perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak untuk membekalkan pelbagai jenis bahan bacaan kepada golongan ini.  Kemudahan untuk memperoleh bahan bacaan ini dapat menggalakkan mereka untuk membaca.  Juseru, untuk menyemai kepentingan membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah dengan memperbanyak kempen membaca. Kempen membaca yang diadakan disertakan dengan pelbagai aktiviti menarik, contohnya, pertandingan yang berkaitan dengan bahan bacaan yang sesuai dengan tahap dan minat mereka secara berterusan. Dengan ini jelaslah, dengan usaha kerajaan yang berterusan, visi untuk membentuk masyarakat yang gemar membaca akan berjaya direalisasikan.

 

    Ekoran daripada itu, salah satu wahana yang berkesan untuk memupuk minat membaca ialah melalui media massa. Melalui media massa seperti radio, televisyen, surat khabar dan internet, kepentingan membaca dapat dihebahkan. Misalnya, melalui surat edaran  atau risalah, syarikat penerbitan boleh mempromosikan bahan bacaan yang baru diterbitkan. Manakala melalui televisyen dan radio, orang awam berkesempatan untuk mengetahui buku-buku yang baru diterbitkan serta isi kandungannya. Program televisyen berbentuk rencana dan bual bicara tentang kepentingan membaca perlu diperbanyak untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya amalan membaca. 

 

    Kesimpulannya,  amalan membaca sangat penting untuk melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan matang akal fikiran.   Remaja berilmu  merupakan tonggak kepimpinan negara yang berkualiti pada masa depan.  Justeru, semua pihak perlulah berganding bahu dan melangkah sederap dalam usaha untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja supaya gemar membaca  untuk menyediakan generasi pelapis bakal pemimpin yang akan menerajui negara ke mercu kejayaan pada satu masa nanti. Sesungguhnya, generasi berilmu penjana kemajuan dan kemakmuran negara.

20 - FORMAT CERAMAH : CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

 Sebagai seorang guru kaunselor , anda telah menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar sempena program motivasi di sekolah anda.  Tajuk ceramah anda ialah ‘Ciri-ciri Pelajar Cemerlang.

Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

  

    Yang berusaha, ahli jawatankuasa program motivasi 'Permata Hati', yang dihormati guru-guru serta pelajar-pelajar SMK Dato’ Syed Esa yang dikasihi sekalian.  Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

    Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan kerana pada pagi yang ceria ini, kita dapat bersama-sama dalam program motivasi 'Permata Hati' yang sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak beberapa lama lagi.  Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah tentang 'Ciri-ciri Pelajar Cemerlang'.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

    Semua insan inginkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka.   Malah, semua pelajar yang berada di dalam Dewan Budiman yang permai ini juga ingin menjadi pelajar yang cemerlang. Pendek kata,  semua pelajar ingin cemerlang dalam semua bidang yang diceburi.  Contohnya, sudah pasti pelajar ingin cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya.  Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau.   Persoalanya, apakah sebenarnya ciri-ciri pelajar cemerlang?  Bagaimanakah caranya untuk menjadi cemerlang?  Apakah pelajar di hadapan saya ini pelajar yang cemerlang?  Bersedialah wahai pelajar-pelajar, kerana sebentar lagi kita akan bersama-sama mengupas tajuk ciri-ciri pelajar yang cemerlang.

Para pelajar yang disayangi,

    Memang tidak dapat dinafikan, ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk memastikan pecapaian akademik mereka sentiasa memberangsangkan dalam setiap ujian dan peperiksaan.  Contohnya, pelajar cemerlang akan mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan bagi memastikan pencapaian akademik mereka sentiasa cemerlang.

    Selain itu, semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Sebagai contoh, pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada dalam diri sendiri  mahupun persekitarannya. Pelajar cemerlang tidak meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.

    Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,

    Selanjutnya ialah, pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar cemerlang berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij.

    Apakah tindakan ke sana ke mari dengan buku sehingga digelar sebagai 'ulat buku' merupakan ciri pelajar yang cemerlang?  Sebenarnya,  Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti kokurikulum.

 Pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,

    Disiplin asas kejayaan.  Oleh itu, pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai pelajar skema yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi. Sebagai contoh, pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Setiap kali diberi tugasan, pelajar cemerlang tidak melaksanakannya dengan sambalewa semata-mata seperti "melepaskan batuk di tangga".  Jelaslah prinsip pelajar cemerlang ialah mementingkan disiplin dalam memacu kecemerlangan hidup mereka.

    Seterusnya, pelajar cemerlang juga perlu menampilkan sahsiah dan budi pekerti yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa, pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.

    Akhirnya, satu lagi ciri yang sangat penting ialah, pelajar cemerlang sentiasa berpegang teguh pada tali agama.  Kepercayaan dan kepatuhan kepada suruhanNya sepatutnyalah menjadi perkara utama dalam kehidupan ini.  Contohnya, pelajar yang cemerlang sentiasa berusaha melaksanakan suruhan Tuhan dan menjauhi larangannya.  Malah pegangan agama yang kukuh menjadi penyuluh dan petunjuk jalan dalam kehidupan pelajar supaya sentiasa berada pada jalan kebenaran.  Hal ini demikian kerana, pelajar yang cemerlang sentiasa meninginkan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

    Sebagai kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan agama.   Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Oleh itu pelajar cemerlang haruslah sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan setiap masa dan jangan sesekali menganggap bahawa diri mereka serba sempurna.

    Sebelum saya menamatkan ceramah pada hari ini, saya percaya tentu pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya ini sedang tertanya-tanya kepada diri sendiri. Antara persoalan yang mundar-mandir di minda ialah adakah ciri-ciri yang telah dinyatakan tadi dalam diriku?  Mampukah saya menggarab ciri-ciri kecemerlangan tersebut.  Jawapanya ialah, jika hanya satu atau dua ciri sahaja yang ada dalam diri pelajar-pelajar ketika ini, syabas dan tahniah saya ucapkan.  Satu permulaan yang baik dan teruskan untuk mencapai ciri-ciri kecemerlangan itu.  Saya percaya dan penuh keyakinan bahawa semua pelajar akan mampu menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang.  Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.  Tepuk dada tanya selera.

19 - HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

 Maksud: Hanya bersemangat pada mulanya, tetapi malas pada pertengahan jalan


Contoh Soalan:

Tuliskan satu cerita berdasarkan maksud peribahasa 'hangat-hangat tahi ayam'.


      Kehadiran Ahmad disambut mesra oleh rakan-rakan kelas baharunya. Dia merupakan pelajar yang berpindah dari sekolah lamanya kerana mengikut ibu bapanya yang bertukar tempat kerja. Ahmad menonjolkan sikap baik dan bersopan-santun agar tidak dipandang serong oleh rakan-rakan baharunya. Ternyata, penerimaan Ahmad oleh teman-temannya tidak mengecewakan. Hari pertama persekolahan lagi, dia sudah didampingi rakan-rakan menyebabkan dia tidak lagi kekok dengan situasi di sekolah baharunya.

    Sikap rajin dan berdisiplinnya menyebabkan dia dihormati oleh rakan-rakannya. Dia juga menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Gurunya memberikan sokongan moral apabila mengetahui impian besarnya itu. Malah, dia sentiasa aktif di dalam kelas dan senantiasa bertanyakan soalan jika dia tidak memahaminya. Namun, sikap eloknya itu tidak berkekalan. Pergaulannya mulai liar setelah dia berkawan dengan pelajar bermasalah. Dia mula mengabaikan pelajaran sedangkan suatu ketika dahulu dia begitu bersungguh-sungguh di dalam kelas. Dia tidak lagi dihormati malah dicemuh kerana hanya berpura-pura selama ini. Ahmad mengendahkan segala pandangan terhadap dirinya kerana kini dua sudah memiliki kawan-kawan karib yang sebenarnya merosakkan dirinya.

     Sungguhpun begitu, guru-guru yang prihatin menegurnya supaya berubah. Apabila sahaja dia ditegur, dia pasti akan menangis dan mula bertekad untuk membuang tabiat buruknya. Teguran gurunya memberikan inspirasi baharu untuk dirinya berubah. Namun, semangat membaranya hanya seketika sahaja. Dua atau tiga minggu kemudian setelah ditegur, dia akan mengulangi perbuatannya itu. Mujurlah, guru-guru yang mengajarnya tidak jemu dan berputus asa untuk menegurnya agar sikap dan kelakuan Ahmad akan berubah. Guru kelasnya senantiasa memantau sikap Ahmad demi tidak hanyut dalam kancah negatif.

    Sikap kepala angin Ahmad ini membingungkan rakan-rakan sekelasnya. Sekejap Ahmad menjadi pelajar yang sangat rajin, seketika nanti dia menjadi pelajar yang bermalah. Ahmad hanya bersemangat pada mulanya, tetapi menjadi dingin setelah jemu berusaha. Kata-kata gurunya bagai mencurahkan air ke daun keladi kerana dia mula mengabaikan pesanan gurunya. Ahmad semakin hari semakin teru perangainya, malah mula ponteng sekolah dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Ramai rakan sekelasnya tertanya-tanya ke manakah hilangnya semangat juang untuk berjaya Ahmad

    Musim peperiksaaan semakin tiba. Ahmad masih leka dengan dunianya sedangkan detik pentingnya sebagai pelajar bakal teruji. Dengan angkuhnya, dia mengabaikan pelajaran kerana yakin dia telah berusaha. Ibu bapanya yang menyedari sikap Ahmad ini turut menegur sikapnya yang kurang elok ini. Sebagai akibatnya, keputusan akhir tahunnya sangat teruk. Malah, dia diturunkan kelas dan bersama-sama dengan pelajar lemah yang bermasalah. Malunya tidak kepalang kerana dijadikan bahan tawa rakan-rakannya yang dahulu mengaku sahabat karib.

    Keinsafan mulai timbul dalam hati ahmad. Sikap buruknya ini harus dikikis untuknya berjaya. Memang sahlah, pepatah tua, “hangat-hangat tahi ayam”, ditujukan kepada dirinya kerana hanya bersemangat pada mulanya, tetapi akhirnya mengalah. Kesedarannya untuk berubah kini bukan sahaja jangka masa pendek, tetapi untuk selama-lamanya demi masa hadapan yang gemilang.

18 - SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN

    Dalam masyarakat Melayu terdapat begitu banyak peribahasa yang mempunyai maksud yang mendalam. Kebiasaannya, peribahasa Melayu terhasil daripada pengamatan masyarakat terhadap alam dan kehidupan manusia secara keseluruhan. Peribahasa “sediakan paying sebelum hujan” merupakan bidalan yang bermaksud kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam kehidupan ini. Jelaslah, pengamalan peribahasa ini mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan sesuatu masyarakat itu.

    Seseorang yang mengamalkan peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” akan senantiasa meneroka ilmu sebagai persediaan untuk kehidupan masa depan mereka. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran ini akan sesuai dilalui oleh mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Ilmu sahaja yang membolehkan seseorang itu menguasai apa-apa bidang yang wujud kerana berupaya untuk mengalahkan pesaing-pesaing mereka. Oleh itu, pemahaman makna peribahasa ini menjadikan seseorang itu meneroka ilmu sepanjang hidup mereka.

    Selain itu, peribahasa ini turut mengaitkan sikap suka menabung. Anak-anak perlu dididik sejak kecil untuk menabung buat kehidupan mereka yang lebih terjamin pada masa depan. Wang yang dikumpulkan secara sedikit-sedikit itu akan mampu digunakan pula untuk melanjutkan pelajaran mereka kelak. Jelaslah, amalan menabung menjadi sebahagian makna dalam peribahasa ini yang banyak kepentingannya itu.

    Malahan, peribahasa ini seolah-olah memberikan satu amaran awal kepada sesiapa sahaja untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidupnya. Mereka yang memahami peribahasa ini pasti lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan pula kepada. Setiap tindakan pasti akan mempunyai dua pilihan atau aspek yakni kebaikan dan keburukan yang harus diteliti oleh seseorang itu. Sesungguhnya, peribahasa ini menjauhkan sebarang masalah dalam kehidupan seseorang itu.

    Peribahasa ini juga amat berguna buat pelajar terutama dalam menghadapi peperiksaan yang begitu mencabar. Mereka yang memahami maksud mendalam peribahasa ini sudah pasti akan bersedia dengan sering menghadiri kelas di sekolah bersama-sama membuat latihan demi latihan. Persediaan sejak awal inilah yang bakal memberikan pelajar satu kelebihan berbanding dengan pelajar lain yang hanya membuat persiapan pada saat-saat akhir sahaja. Sesungguhnya, pelajar yang bersedia lebih awal akibat memahami makna peribahasa ini bakal memperoleh kejayaan yang lebih manis dalam hidup mereka.

    Kesimpulannya, peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” amat wajar diamalkan dalam kehidupan kita. Peribahasa ini merupakan satu legasi masyarakat dahulu kepada generasi kini yang perlu diteruskan kewujudannya. Kehidupan masyarakat dahulu kala yang sentiasa berwaspada, beringat-ingat dan berhati-hati perlu dijadikan contoh teladan oleh generasi kini pula. Peribahasa ini boleh disamakan dengan peribahasa “beringat sebelum kena” yang menekankan aspek berhati-hati dalam setiap tindakan kita.

17 - LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU

    Mutakhir ini, negara kita sedang bergelut dengan masalah pencemaran udara iaitu jerebu yang semakin membimbangkan.  Beberapa buah negeri telah dikenal pasti sebagai negeri yang paling teruk terjejas akibat jerebu terutamanya negeri Johor.  491 buah sekolah di beberpa daerah di Johor terpaksa ditutup.  Beberapa lapangan terbang juga ditutup manakala penerbangan dari Senai, Johor dijadual semula.  Paling membimbangkan, pesakit yang berkaitan pernafasan meningkat dengn mendadak.  Persoalannya, apakah langkah-langkah mengatasi masalah yang menjadi duri dalam daging bagi negara kita

    Memang tidak dinafikan,  tindakan segera untuk menghentikan pembakaran hutan secara terbuka dan secara besar-besaran diperlukan. Tindakan secara kolektif dengan penggunaan alat pemadam api yang canggih dan saintifik boleh membantu mengurangkan masalah jerebu. Di samping itu juga undang-undang ketat perlu dikenakan terhadap pihak atau syarikat tertentu yang sengaja membakar hutan untuk tujuan pertanian.

    Selain itu,  bahan pencemaran udara haruslah dikurangkan untuk mengelakkan masalah jerebu di negara kita. Kesesakan lalu lintas menambahkan karbón dioksida, karbón monoksida dan sebagainya yang menambahkan keadaan berjerebu. Oleh yang demikian, bilangan kenderaan yang menggunakan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan yang terlibat seperti Kuala Lumpur haruslah disekat atau dikurangkan.

    Seterusnya,  jerebu boleh dihilangkan dengan usaha pembenihan awan bagi menurunkan hujan. Hujan adalah pembersih udara semula jadi yang terbaik. Pihak Jabatan Alam Sekitar telah bekerjasama dengan Puncak Niaga Sdn. Bhd telah melakukan beberapa siri pembenihan awan khususnya di sekitar Lembah Klang dan negeri Selangor.

    Tambahan pula, masalah jerebu juga boleh dikurangkan dengan menggunakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk mengenal pasti kawasan yang bermaslah dan mengambil tindakan susulan untuk mengatasi maslah jerebu. Pembacaan indeks haruslah dilakukan dari semasa ke semasa agar usaha mengehadkan kilang-kilang daripada pengeluaran asap atau gas yang berlebihan dapat diatasi

    Masalah jerebu juga boleh diselesaikan melalui persepakatan bersama antara negara jiran dan pada peringkat global diperlukan untuk menangani masalah alam sekitar . Kerjasama boleh dilakukan dari segi perlindungan alam sekitar secara kolektif dan kajian saintifik dan kajian saintifik digiatkan untuk menangani masalah ini.

    Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.” Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.


16 - KESAN-KESAN NEGATIF JEREBU

    Memang tidak dinafikan juga, fenomena jerebu mendatangkan kesan negatif terutama terhadap tahap kesihatan rakyat di negara kita.   Antaranya ialah, jerebu boleh menjejaskan kesihatan rakyat terutamanya sistem pernafasan dan boleh menyebabkan penyakit asma, sakit kerongkong, selesema, batuk, nemonia dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jantung.  Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah.  Oleh itu bilangan golongan tua dan kanak-kanak yang jatuh sakit berkaitan dengan sistem pernafasan telah meningkat mendadak akibat jerebu dan terpaksa menerima rawatan di hospital atau di klinik.

    Selain itu, kesan jerebu juga boleh mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu berupaya menyerap dan menyerakkan cahaya matahari.    Hal ini amat menakutkan kerana risiko kemalangan boleh berlaku seperti kapal terbang dan kapal laut atau kenderaan di jalan raya menjadi semakin besar.  Keadaan ini amat membahayakan keselamatan rakyat kerana kemalangan boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa.

    Tambahan pula, aktiviti harian masyarakat turut terjejas akibat masalah jerebu.  Apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada di tahap tidak sihat atau membahayakan, sebarang bentuk aktiviti luar tidak digalakkan.  Contohnya, di kawasan-kawasan yang dilanda jerebu, banyak sekolah terpaksa ditutup demi menjamin kesihatan pelajar.  Program-program dan acara luar seperti sukan, dibatalkan.  Keadaan ini menunjukkan bahawa masalah jerebu telah mengganggu aktiviti harian masyarakat di negara kita.

    Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu.

    Selimut jerebu  pula biasanya hilang selepas hujan turun. Namun begitu, hujan yang turun selepas fenomena jerebu berlaku akan memberikan kesan sampingan yang berpunca daripada hujan asid. Hujan ini seterusnya akan merosakkan tanaman dan tumbuhan, meningkatkan nilai keasidan tanah dan air sekaligus mengganggu keseimbangan dalam ekosistem seperti ekosistem akuatik, ekosistem hutan dan ekosistem muara.

    Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.

    Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi masalah tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat berkembang maju dalam semua bidang.

         


15 - PUNCA-PUNCA MASALAH JEREBU

Memang tidak dapat dinafikan, masalah jerebu merupakan fenomena cuaca yang dialami oleh negara kita saban tahun.  Fenomena ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara  Jerebu berlaku apabila kehadiran partikel terampai di atmosfera seperti gas-gas, debu, habuk, dan zarah di dalam keadaan udara kering. Di Malaysia tahap kualiti udara ditunjukkan oleh Indeks Pencemaran Udara (IPU). Tahap kualiti udara yang teruk ialah IPU 101-400. Namun, realitinya keadaan udara yang berjerebu di negara kita amat membahayakan kesihatan rakyat.  Persoalannya, apakah punca-punca berlakunya masalah jerebu.

       Sebenarnya, masalah jerebu berpunca daripada kegiatan manusia sendiri iaitu pertamanya melalui pambakaran hutan secara besar-besaran tanpa menimbangkan kesan terhadap alam sekitar.  Contohnya, asap tebal hampir menjadi masalah tahunan kepada Singapura dan Malaysia, selalunya bermula pada pertengahan tahun apabila peladang di Indonesia membersihkan ladang secara murah dengan membakarnya.  Maklumat daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia hingga ke selatan Pantai Barat Semenanjung.  Keadaan ini telah menyebabkan Malaysia mengalami masalah jerebu yang membimbangkan.

          Selain itu, faktor yang memburukkan lagi keadaan ialah  tindakan  masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan sehingga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap atau bahan buangan sama ada individu ataupun pemilik kilang. Contohnya, sesetengah anggota masyarakat melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Begitu juga pemilik kilang kain, papan dan sebagainya bertindak membakar sendiri bahan buangan kilang mereka.  Mereka tidak betanggungjawab dan tidak mengambil kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu.  Mereka juga tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini mengakibatkan asap dilepaskan ke udara dan mengakibatkan jerebu.

       Tambahan pula,  peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya dan telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan keadaan jerebu bertambah parah kerana kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap yang mencemarkan udara.  Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas.  Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

        Seterusnya,  pengeluaran asap yang tidak terkawal dari kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian yang menggunakan minyak dan arang batu turut menjadi punca utama jerebu.   Sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang dilepaskan ke udara dan telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu.  Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara.  Contoh kawasan perindustrian ialah Seguntor di Sandakan dan Lembah Klang.

           Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah jerebu ini.  Usaha ini sangat penting demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.  sebelum terlambat, sebelum nasi menjadi bubur, , pihak kerajaan terutamanya perlu mengorak langkah drastik bagi mengatasi masalah jerebu ini dari terus-menerus menghantui negara kita.  Rakyat yang sihat merupakan tonggak utama untuk memastikan kemajuan negara kerana 'Rakyat Sihat Negara Maju'.